Thursday, October 7, 2010

Tajuk pidato : MAKANAN SEGERA : Adakah pilihan bijak?

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis.

Yang dihormati pensyarah Pengajian Melayu, Encik Mohamad Termizi bin Rafie,

Dan yang dikasihi rakan-rakan sekalian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama sekali saya mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan pidato saya yang bertajuk “Makanan segera : Adakah pilihan bijak?”. Sebelum saya memulakan ucapan yang seterusnya, izinkan saya mendefinisikan makanan segera terlebih dahulu. Menurut Michael Jacobson (1972), maksud rangkai kata makanan segera ialah makanan yang ringkas dan cepat untuk disediakan.

Hadirin yang dihormati,

Industri makanan segera wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Semua ini disebabkan makanan segera seperti mi segera, ayam goreng, “burger” dan minuman berkarbonat semakin digemari oleh semua lapisan masyarakat pada hari ini. Dari segi ekonomi, mungkin ia merupakan satu perkembangan yang positif kerana ia mendatangkan banyak pulangan kepada para pengusaha makanan segera. Namun, dari segi kesihatan pula, makanan segera sebenarnya mendatangkan banyak kesan negatif yang harus diberi perhatian oleh masyarakat umum.

Kewujudan premis yang menjual dan menyediakan perkhidmatan makanan segera kepada masyarakat pada hari ini begitu memberangsangkan. Hal ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi daripada masyarakat, bagaikan keperluan bagi gaya hidup masyarakat kini. Keenakan menikmati makanan segera juga dipengaruhi oleh faktor penyediaannya yang murah, ringkas dan cepat. Memang tidak dinafikan, makanan segera mampu disediakan dalam masa yang singkat seterusnya dapat menjimatkan masa pengguna. Penyediaan makanan segera juga tidak memerlukan kos yang tinggi bahkan tiada kos yang diperlukan.

Kesibukan dengan tugas seharian dan kekangan masa dengan bebanan kerja mendorong masyarakat moden hari ini memilih makanan segera sebagai menu harian. Antara makanan yang menjadi pilihan ialah Burger, Pizza, Mc’Donald, KFC, mi maggi dan produk makanan segera seperti Ayamas dan kentang goreng. Rentak kehidupan yang rancak pada hari ini telah mendorong masyarakat untuk mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif daripada makanan berat. Jika pada masa dahulu, mi segera menjadi pilihan utama makanan segera, kini terdapat ribuan jenama makanan segera dikeluarkan atas keperluan pasaran. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat kerana kandungan garam dan bahan pengawet yang berlebihan.

Saudara dan saudari yang saya muliakan,

Makanan proses ataupun makanan segera seringkali menjadi santapan setiap orang saban waktu. Hal ini kerana, penyediaan dan kebolehdapatannya sungguh mudah dan ringkas sesuai dengan kamus hidup kita yang sibuk dengan pelbagai kerja harian. Namun, kita sendiri tidak sedar sejauh mana ia akan menyumbang kebaikan kepada kesihatan kita. Makanan segera bukan hanya yang terdapat di mana- mana restoran makanan segera tetapi juga makanan terproses yang siap untuk dimakan tanpa melalui proses memasak yang lebih lama dan memerlukan kemahiran memasak. Ia mungkin terdiri daripada makanan dalam tin (ready to eat), makanan yang berasaskan corak pemakanan barat seperti ‘hotdog', ‘burger' dan sebagainya serta makanan sejukbeku. Keperluan kepada makanan segera semakin ketara kini kerana masyarakat kita pada hari ini lebih cenderung untuk bergerak pantas setiap masa.

Perkhidmatan restoran 24 jam sehari seperti 7-eleven turut memudahkan masyarakat sekeliling mendapatkan makanan segera. Makanan segera juga dijual di stesen minyak dan kawasan perhentian rehat yang terdapat di sepanjang lebuh raya. Ini kerana terdapat beberapa unsur yang menggalakkan perkembangannya seperti perkhidmatan segera yang ditawarkan, tempat yang menyenangkan, persekitaran yang bersih dan nyaman serta harga yang berpatutan membentuk ciri-ciri restoran makanan segera yang menjadi pilihan orang ramai masa kini. Bagi makanan dalam tin pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, ia mudah dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Hal ini sekaligus mendorong masyarakat tanpa mengenal usia, sama ada kanak-kanak sekolah, remaja atau orang dewasa menggemarinya dan boleh menikmatinya walau di mana jua mereka berada.

Hadirin yang dimuliakan,

Makanan segera yang dijual juga kebanyakannya memenuhi cita rasa dan selera seluruh masyarakat. Apa yang dapat dilihat, pengeluar makanan segera tersebut bijak mengambil peluang dengan memasarkan produk yang bermacam pilihan sebati dengan selera masyarakat Malaysia khususnya. Kepelbagaian pilihan inilah yang mendorong mereka untuk terus setia dengan makanan segera. Malah, kebanyakan masyarakat kini memilih makanan yang sedap sahaja tanpa menghiraukan risiko kesihatan mereka akan terjejas.

Tambahan pula, variasi menunya yang sentiasa berubah-ubah mengikut kesesuaian dan selera, menyebabkan masyarakat tidak jemu untuk mencuba dan merasai makanan itu. Sebagai contoh, mi segera yang dipasarkan boleh juga didapati dalam perisa yang berbeza seperti perisa kari, ayam, tomyam dan sayuran. Justeru, masyarakat tidak akan jemu kerana mereka mempunyai pelbagai perisa yang boleh dipilih. Terlalu banyak pilihan menarik di pasaran juga kadang-kadang menimbulkan kekeliruan untuk kita memilihnya.

Secara keseluruhannya, makanan segera boleh dikatakan sihat kerana ia membekalkan pelbagai khasiat yang diperlukan jika kita bijak memilihnya. Tetapi kandungan lemak tepu, garam dan kalori dalam makanan segera kegemaran ramai adalah tinggi berbanding kandungan vitamin A dan vitamin C atau kalsium yang rendah. Justeru, penting bagi kita meneliti maklumat pemakanan mengenai makanan segera sebelum mengambilnya kerana ia membantu kita membuat pilihan. Kita juga diingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan isi kandungan hidangan yang ditawarkan semata-mata kerana nilai perbezaan harga hanyalah RM1. Ini bermakna, jika hidangan yang diambil lebih besar bermakna kita cenderung mengambil lebih tinggi kalori, lemak, kolesterol dan garam. Kita juga perlu memikirkan adakah tubuh kita berupaya membakar kalori berlebihan yang diambil. Ini kerana, kita perlu menyeimbangi kalori yang diambil dengan kalori yang digunakan oleh tubuh badan kita bagi menjamin kesihatan berterusan.

Hadirin yang dikasihi,

Sebagai pengguna, masyarakat perlulah prihatin tentang kandungan makanan yang diambil. Ini kerana ia mengandungi bahan penambah yang berlebihan. Ia bertujuan untuk menambahkan kelazatan, meningkatkan mutu dan memantapkan kesegaran makanan segera. Akibatnya, sistem pertahanan badan menjadi lemah, serta pengumpulan toksik terhasil menyebabkan sel ‘demam’ dan akhirnya berlaku pelbagai masalah kesihatan.

Makanan segera merupakan makanan yang mengandungi kurang khasiat pemakanan. Ia juga memberi kesan yang kurang baik kepada kesihatan. Jika ia dijadikan hidangan yang hanya dinikmati sekali sekala, makanan tersebut kurang memudaratkan. Tetapi apa yang dikhuatirkan jika makanan segera diambil secara kerap, ia bakal menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa kita sedari, ia akan mendedahkan kepada kita dengan pelbagai penyakit. Antaranya kerosakan gigi, penyakit kencing manis, sembelit, ‘obesiti', tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung dan juga kanser usus.

Pada hari ini, masalah komplikasi kegemukan atau obesiti telah menjadi satu sindrom baru masyarakat kita yang dikatakan berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandung lemak dan gula yang tinggi. Makanan tersebut seperti aiskrim, minuman berkarbonat dan sebagainya adalah antara makanan segera kegemaran kanak-kanak dan remaja kini. Bahaya yang paling serius daripada kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol dalam darah yang jika tidak diberi perhatian akan menyebabkan penyakit jantung. Kajian oleh pakar pemakanan menunjukkan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak. Ini disebabkan otak manusia memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik, namun kandungan lemak yang terlalu banyak boleh mengganggu peranan glukosa yang seterusnya boleh merosakkan daya konsentrasi dan tahap ingatan.

Rakan seperjuangan sekalian,

Pengambilan makanan segera yang berlebihan juga akan mengancam radang paru-paru yang boleh membawa kepada penyakit asma yang kronik. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh pakar sains pemakanan mendapati bahawa daripada 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera menunjukkan bahawa mereka yang kurang mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat besi dan susu amat mudah menghadapi risiko diserang penyakit asma yang berlarutan.

Sementara itu, negara juga akan melahirkan masyarakat yang malas dan suka mengambil jalan mudah. Oleh kerana selalu menggunakan makanan segera, masyarakat menjadi liat untuk menyediakan makanan yang lebih berkhasiat dan lazat. Mereka hanya mahukan makanan tersedia dalam sekelip mata tanpa menghiraukan risiko yang bakal mereka ambil. Lama-kelamaan mereka akan menjadi bertambah malas untuk menyediakan makanan yang lebih kompleks seperti lauk-pauk, kuih-muih, dan pencuci mulut. Sekaligus, makanan tradisional masyarakat kita mula luput dan hilang.

Hadirin hadirat yang dihormati,

Masyarakat yang malas inilah yang memaksa mereka menanggung perbelanjaan untuk membeli makanan segera yang kian meningkat sekarang. Sebagai contoh, makanan segera yang enak lagi lazat ini telah mendorong individu A untuk mengambil makanan segera dengan lebih kerap walaupun harganya mahal. Hal ini menyebabkan perbelanjaan bulanan individu A semakin bertambah. Namun, bagi penggemar makanan segera tegar mungkin tidak mengalami masalah ini.

Tabiat makan makanan segera ini telah bermula sejak daripada kecil di mana ibu bapa tidak memberi mesej yang betul kepada anak-anak bahawa makanan segera ini boleh membahayakan kesihatan. Tambahan pula, pengaruh iklan terhadap kanak-kanak sangatlah hebat. Dan sekarang kerajaan ingin mengambil langkah membendung makanan segera ini dengan cara mengharamkan iklan-iklan di media television. Langkah yang serupa juga telah dilakukan di UK pada tahun 2006 oleh sebuah badan bernama Office For Communications (OFCOM) yang diketuai oleh Jamie Oliver. Namun, jika ibu bapa tidak membenarkan anaknya membeli makanan segera itu, maka tabiat ini boleh dibentuk supaya menjauhi makanan yang tidak sihat. Apabila mereka sudah mendapat penyakit, barulah hendak menyesal. Bak kata orang “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian hari tiada gunanya”.

Sebaliknya, kebanyakan makanan sedap boleh menjadi makanan sihat jika kena caranya iaitu bermula daripada pemilihan bahan, penyediaan, kaedah memasak dan makan. Makanan harian sebenarnya boleh menjadi ubat atau pelindung daripada pelbagai penyakit. Seperti mana Bapa Pakar Perubatan Moden, Hippocrates pernah berkata ‘makanan sihat adalah ubat paling baik’. Untuk sihat, pemakanan kita harus mengandungi 80 peratus makanan bersifat alkali dan 20 peratus lagi makanan bersifat asid bagi meningkatkan daya ketahanan badan. Makanan berasid adalah seperti bijirin, makanan yang dihasilkan daripada karbohidrat, makanan yang banyak menggunakan gula putih, produk tenusu dan bahan masak. Manakala, makanan yang dianggap beralkali pula adalah sayur-sayuran segar, buah-buahan segar, bijirin , kekacang dan produk kekacang dan jus buah segar.

Hadirin yang saya hormati,

Makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali pada masa kini makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti pelbagai penyakit akibat pengambilan makanan segera yang berlebihan, kita harus membentuk tabiat pemakanan yang seimbang dan sihat. Jangan terlalu memilih jalan mudah dalam soal makan minum dan ingatilah selalu kata pepatah “jangan ambil senang jika tidak mahu susah”. Ambillah makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk menjamin kesihatan tubuh badan yang berterusan. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pendekatan yang dianjurkan oleh Islam yang menggalakkan bersederhana (wasatiah) walaupun dalam bab pemakanan. Justeru, kita sebagai pengguna sepatutnya mampu serta bijak dalam memilih makanan yang terbaik untuk diri kita serta mengutamakan sumber halal agar kesihatan rohani kita juga terjamin.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), didapati bahawa pembunuh utama manusia bukannya aids, malaria, kebuluran, kemalangan kereta atau merokok, tetapi tabiat pemakanan manusia sendiri. Oleh itu, kita yang berkuasa membuat pilihan yang terbaik, jangan salahkan makanan. Menjaga makanan saja tidak cukup kerana perubatan semula jadi memerlukan pendekatan menyeluruh atau holistik yang membabitkan pembersihan badan, ketenangan minda dan rohani. Sama ada membawa faedah atau padah, jangan salahkan makanan kerana kuasa memilih ada di tangan kita dan kita yang bertanggungjawab terhadap tahap kesihatan diri.

Hadirin hadirat yang saya muliakan,

Di dalam hal ini kita tidak boleh menundingkan jari pada sesama kita. Menghentikan iklan bukanlah jalan keluar terbaik. Pengharaman iklan rokok adalah buktinya. Penghisap rokok termasuk yang tegar, tetap tinggi. Ribuan pelajar sekolah terus merokok dan pendapatan tauke rokok tetap meningkat. Dadah yang dilarang, iaitu tidak pernah diiklankan juga masih belum dapat diselesaikan, inikan pula makanan segera yang ‘memang enak’ dimakan. Ringkasnya, pihak berkuasa harus menyelesaikan masalah yang terlahir dari makanan segera secara menyeluruh, bersungguh-sungguh dan bersepadu. Jika daun-daun pokok mulai kering, jangan sekadar dicantas dahan dan rantingnya tetapi eloklah diperiksa juga akar dan uratnya kerana mungkin itu yang perlu dirawat.

Sebelum saya mengakhiri pidato saya pada hari ini, saya tinggalkan anda dengan serangkap pantun.

Bintang barat terbit petang,

Bintang timur terbit pagi,

Jika tidak melarat panjang,

Ada umur ketemu lagi.

Sekian sahaja,

Wabillah hitaufik walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Terima kasih.

3 comments:

  1. Replies
    1. pidato ialah sebuah kegiatan berbicara di depan umum atau berorasi untuk menyatakan pendapatnya, atau memberikan gambaran tentang suatu hal. Pidato biasanya dibawakan oleh seorang yang memberikan orasi-orasi dan pernyataan tentang suatu hal/peristiwa yang penting dan patut diperbincangkan.

      Delete